Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, daripada jumlah itu, kira-kira 85 peratus disumbangkan melalui program derma darah bergerak manakala 15 peratus atau 3,299 beg darah diperoleh hasil sumbangan orang ramai di Unit Transfusi Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

"Seramai 13,707 orang atau 64 peratus penderma adalah dalam kalangan lelaki dan bakinya iaitu 7,679 pula perempuan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Program Derma Darah Penolong Pegawai Perubatan Peringkat Negeri Terengganu 2019 di ruang menunggu pelawat di HSNZ di sini hari ini.

Yang hadir sama, Pengarah HSNZ, Dr. Nor Azimi Yunus.

Menurut Mohd., Terengganu memerlukan kira-kira 50 beg darah setiap hari bagi menampung keperluan pesakit yang terlibat kemalangan, pembedahan atau perkara lain yang memerlukan rawatan.

Sehubungan itu, beliau menyeru orang ramai yang berumur antara 17 hingga 70 tahun untuk menderma darah dan mereka berpeluang menjalani pemeriksaan kesihatan menerusi program yang diadakan secara berterusan.

"Setakat ini bekalan darah di Terengganu masih mencukupi dan kita akan memastikan program derma darah ini berterusan sepanjang tahun," katanya. - UTUSAN ONLINE