Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, menerusi program itu, kanak-kanak terbabit diletakkan bersama keluarga angkat terpilih untuk tempoh dua tahun.

Beliau menjelaskan, selepas me­ngikuti program perintis berbentuk sokongan moral dan psikologi itu, sebahagian besar mereka telah kembali kepada keluarga asal atau kekal bersama keluarga angkat.

Tambah beliau, pelaksanaan program tersebut juga antara peruntukan baharu dalam Akta Kanak-Kanak (Pindaan) 2015 yang diluluskan di Parlimen semalam.

“Program ini telah pun dilaksanakan di beberapa negara se
_perti Australia, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

“Sebelum ini, kita telah pun membawa pakar-pakar dari luar untuk berkongsi pengalaman tentang program ini dan dari situ kita telah membuat kajian memandangkan ia mempunyai kesan baik demi memastikan kanak-kanak itu mampu membesar sebagai seorang dewasa yang bertanggungjawab,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyampaikan ucaptama dalam Forum Global Kanak-Kanak bagi Asia Tenggara di sini hari ini.

Forum tersebut dirasmikan Raja Sweden, Carl XVI Gustaf.

Rohani berkata, pada masa ini program yang dikenali sebagai Deinstitutionalisation itu dimulakan di kawasan Petaling bagi kawasan bandar dan daerah Kuala Langat pula dipilih untuk bahagian luar bandar.

Kata beliau, pihaknya bercadang untuk memperluaskan program itu di setiap negeri supaya mereka boleh berada bersama keluarga dan rumah kebajikan hanya menjadi pilihan terakhir.

“Kita membuka permohonan kepada keluarga yang mahu mene­rima anak-anak ini dan mereka perlu melalui ujian saringan dan proses temu bual agar anak-anak ini berada di bawah jagaan terbaik.

“Di samping itu, terdapat pegawai yang dilantik untuk memantau kanak-kanak ini bersama keluarga angkat mereka,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Rohani berkata, forum tersebut merupakan platform terbaik untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran di peringkat antarabangsa untuk memperjuangkan hak kanak-kanak.

Katanya, perbincangan akan memberi fokus mencari penyelesaian dan peluang bagi meningkatkan kehidupan kanak-kanak dan remaja termasuklah bagaimana pihak industri dan perniagaan boleh me­lakukan sesuatu untuk golongan tersebut di rantau ini.