Pengerusinya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sasaran tersebut adalah realistik memandangkan sudah ada enam koperasi sekolah mempunyai perolehan mencecah RM1 juta.

“Antara koperasi sekolah yang memasuki Kelab Satu Juta ialah Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas Pulau Pinang Berhad, MRSM Kubang Pasu Jitra Kedah Berhad, Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah Kelantan Berhad, MRSM Taiping Berhad, MRSM Batu Pahat Johor Berhad dan MRSM Tunku Abdul Razak Pekan Berhad.

“Justeru kita melihat sasaran untuk mewujudkan 44 lagi koperasi sekolah bertaraf jutawan menjelang tahun hadapan adalah realistik. Ini disebabkan ada 12 koperasi sekolah yang mempunyai perolehan di antara RM500,000 hingga RM900,000,” katanya kepada pemberita selepas Dialog Pengetua-Pengetua Negeri (Pengurusan Kewangan dan Pembangunan Perniagaan) Koperasi Sekolah, di sini semalam.

Yang hadir sama ialah Ketua Unit Kokurikulum Jabatan Pendidikan Selangor, Sazali Baharudin.

Abdul Fattah menambah, antara koperasi sekolah yang mempunyai perolehan antara RM500,000 hingga RM900,000 ialah Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Subang Bestari Berhad, Seri Puteri Berhad, SMK Bandar Baru Sungai Long Berhad, SMK Taman Jasmin 2 Berhad, SMK Jalan Tiga Berhad dan SMK Sultan Alam Shah Berhad.

“Strategi kita untuk memastikan kesemua sekolah yang berada hampir dengan Kelab Satu Juta mencapai sasaran adalah dengan meningkatkan jualan barangan asas makanan di kios-kios koperasi sekolah tersebut,” katanya.

Beliau menambah, statistik sehingga 30 Jun tahun lalu menunjukkan 2,406 koperasi sekolah menyumbang perolehan sebanyak RM260.4 juta dengan aset sebanyak RM353.79 juta. - UTUSAN ONLINE