Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, meskipun terdapat beberapa isu yang masih belum dapat diselesaikan, kerajaan akan terus berusaha untuk mengubah nasib masyarakat India menerusi Pelan Tindakan Masyarakat India Malaysia (MIB).

"Tahun 2017 akan diingati dalam masa-masa akan datang setelah MIB dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta beberapa pengumuman penting dalam Bajet 2018 demi kesejahteraan masyarakat India.

"Transformasi terhadap sekolah-sekolah Tamil, naiktaraf ekonomi, peluang pendidikan dan transformasi sosial adalah antara elemen utama dalam melakukan perubahan, justeru saya yakin 2018 akan menjadi tahun transformasi apabila tiba hujung tahun nanti,” katanya dalam satu kenyataan, di sini semalam.

Beliau yang juga Menteri Kesihatan berharap masyarakat Malaysia dapat menikmati tahap penjagaan kesihatan yang lebih baik melalui inisiatif-inisiatif kerajaan.

"Pelbagai inisiatif telah dilaksanakan bagi memberi manfaat kepada masyarakat dari segi penjagaan kesihatan dan memenuhi keperluan dan kehendak rakyat.

"Diharapkan 2018 akan menjadi tahun untuk kita semua menikmati inisiatif-inisiatif kerajaan dalam memastikan kesihatan, taraf hidup yang lebih baik dan kemakmuran dapat dicapai," katanya. - UTUSAN ONLINE