Program bermula kira-kira pukul 11 pagi itu diadakan di Masjid Wawasan, Pekan Bukit Pasir, di sini dengan disertai pelajar Maahad Tahfiz Darul Mutaqqin, masyarakat setempat dan wakil pelbagai agensi.

Penasihat Rumah Ngaji negeri, Shamsudin Ismail berkata, program yang diakhiri dengan sesi tadabbur itu bertujuan menerap budaya membaca dan memahami al-Quran.

“Selain program Malaysia #QuranHour hari ini sempena Hari Arafah, kita juga menganjurkannya bagi meraikan Hari Kemerdekaan negara kerana al-Quran adalah panduan yang terbaik untuk mencorakkan perjalanan negara.

“Malah, al-Quran mengajar kita bahawa ada kerajaan Allah binasakan dan ada yang Allah bantu. Jadi, sebagai umat Islam wajar kita tiru cara-cara kerajaan Allah bantu sehingga masyarakat tersebut maju, kental dan selamat,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini sebentar tadi. - UTUSAN ONLINE