Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan berkata, angka tersebut tidak termasuk bilangan siswazah yang bakal menamatkan pengajian tahun ini.

Tegas Shamsuddin, pihak kerajaan dan swasta perlu memainkan peranan dalam memastikan jumlah siswazah menganggur yang semakin membimbangkan itu dapat dikurangkan.

“Krisis ini sebenarnya bermula pada 2013 apabila kerajaan mening­katkan umur bersara, jadi pihak swasta tidak dapat mengambil pekerja baharu untuk menggantikan mereka yang sepatutnya bersara.

“Pada tahun ini pula, kerajaan telah menghentikan pengambilan pekerja sehingga menutup peluang kira-kira 13,000 hingga 15,000 pekerjaan di sektor awam dan di sektor swasta pula, keupayaan kita untuk mengambil pekerja agak terkekang kerana ekonomi tidak menentu.

“Kebanyakan syarikat sekarang mengambil pendekatan tunggu dan lihat kerana mereka tidak tahu apa akan berlaku pada masa hadapan selain turut terpaksa memberhentikan pekerja masing-masing,” katanya pada sidang akhbar selepas menyampaikan ucapan pada Kolokium Pekerja anjuran DAP di sini, hari ini.

Menurut Shamsuddin, antara punca yang dikenal pasti menyebabkan siswazah berkenaan masih gagal mendapatkan pekerjaan berikutan kelemahan mereka berbahasa Inggeris selain penampilan yang kurang menarik.

Katanya, kelompok tersebut juga kebanyakan merupakan siswazah yang berasal dari kawasan pedalaman.

“Kebanyakan siswazah terlibat adalah terdiri daripada mereka yang tidak fasih berbahasa Inggeris dan datang dari kampung yang mungkin penampilan mereka itu agak kurang daripada mereka yang datang daripada keluarga dari bandar atau sebagainya.

“Perkara ini sebenarnya akan menimbulkan banyak masalah sosial. Jadi saya harap kerajaan dapat memberi insentif tertentu kepada majikan agar mereka tidak mengurangkan pekerjanya selain kepada majikan yang sanggup mengambil siswazah biarpun mereka ini telah lama menamatkan pengajian masing-masing,” katanya.

Sementara itu, Shamsuddin memberitahu, sehingga kini hampir 10,000 pekerja telah diberhentikan di negara ini sejak Januari hingga Julai lalu.

Katanya, jumlah itu dilihat akan semakin bertambah berikutan keadaan ekonomi negara yang dijangka tidak banyak berubah sehingga awal tahun hadapan.

“Selain 10,000 pekerja itu, pihak lain seperti Shell sebagai contoh juga telah membuat pengumuman akan memberhentikan kira-kira 1,600 pekerja dalam masa dua tahun akan datang. Begitu juga Hew­lett Packard seramai 30,000 pekerjanya di seluruh dunia.

“Kalau majikan tidak mampu mengekalkan perniagaannya, kita akan lihat lebih banyak pemberhentian pekerja selepas ini. Jadi, sebab itu saya harap kerajaan segera bertindak menjadi pengantara dengan beberapa dorongan kepada majikan supaya keadaan ini tidak menjadi lebih teruk,” katanya.