Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr. Aminuddin Hassim berkata, jumlah kehadiran pengunjung yang di luar jangka itu dibantu oleh promosi daripada unit media sosial PPj.

Beliau berkata, sebanyak sejuta pengunjung dijangka memeriahkan penganjuran Lampu 2018 dengan malam kemuncak iaitu pada sambutan tahun baharu 2019 akan menjadi tarikan utama.

“PPj optimis sasaran sejuta pengunjung itu dapat dicapai. Pada malam kemuncak nanti pengunjung akan disajikan dengan pertunjukan bunga api secara langsung dan juga bunga api digital.

“Lampu 2018 menampilkan kelainan dengan penggunaan teknologi visual dan audio terkini serta pencahayaan beresolusi tinggi melalui Pemetaan Bercahaya 3D,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan festival Lampu 2018, di sini hari ini.

Menurut Aminuddin, Lampu 2018 yang bertemakan Warna-Warni Putrajaya akan berlangsung selama empat hari bermula malam ini dan persembahan akan bermula 7.30 malam hingga 12.30 tengah malam.

Selain itu katanya, penganjuran Lampu 2018 turut dimuatkan dengan pelbagai program sampingan seperti E-Games, wayang kulit, beca Putrajaya serta persembahan jalanan.

Dalam pada itu katanya, untuk kemudahan pengunjung PPj turut menyediakan pusat ‘lost and found’, khemah teduhan hujan, bas percuma dari Putrajaya Sentral ke tapak festival serta 200 sukarelawan bagi membantu pengunjung. - UTUSAN ONLINE