Timbalan Menteri Sains dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah berkata, apabila rang undang-undang baharu itu diluluskan, ia akan mula dikuatkuasakan Mei tahun hadapan sekali gus membolehkan mereka mendapat pengiktirafan sebagai profesional sama seperti jurutera yang menggunakan gelaran Ir.

Menurutnya, melalui akta ber-kenaan, lulusan tersebut menjadi golongan profesional dalam bidang teknologi dan akan diberi gelaran TS.

Katanya, akta itu juga membo-lehkan lulusan jurusan juruteknik diiktiraf sebagai juruteknik bertauliah.

“Arkitek ada profesional, akauntan juga ada profesional dan ahli teknologi adalah satu kerjaya profesional baharu di Malaysia yang mengiktiraf kepakaran berasaskan kemahiran.

“Selama ini mereka menganggap lulusan dalam bidang teknikal dan kejuruteraan yang tidak diiktiraf oleh LJM sebagai kelas kedua tetapi melalui rang undang-undang yang dibawa di Dewan Rakyat, mereka akan bergelar ahli teknologi profesional,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kelima Teknologi Sistem Dasar Laut: Teori dan Aplikasi (USYS'14) anjuran Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah UTeM, Tan Sri Dr. Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Dr. Shahrin Sahib.

Abu Bakar berkata, Rang Undang-Undang Teknologi dan Juruteknik 2014 telah dibaca buat kali pertama di Dewan Rakyat pada 27 November lalu dan bacaan kali kedua dan ketiga dijadualkan Mac ini untuk diluluskan sebelum mula dikuatkuasakan pada Mei.

Menurutnya, akta tersebut apabila diluluskan nanti juga membolehkan lulusan bidang berkenaan menaikkan profesion mereka sebagai ahli teknologi dan juruteknik bertauliah.

“Di samping itu, Jabatan Per-khidmatan Awam (JPA) akan mengkaji tangga gaji baharu kepada mereka yang bergelar ahli teknologi apabila akta tersebut mula dikuatkuasakan Mei tahun hadapan,” katanya.

Lulusan teknikal tidak diiktiraf LJM bakal bergelar ahli teknologi