Sumbangan itu yang kesemuanya berjumlah RM40,000 diumumkan oleh Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming ketika menghadiri majlis berbuka puasa bersama kariah Masjid As-Saadah, Kampung Bahagia, Teluk Intan, malam.

Kor Ming yang juga Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat dalam satu kenyataan media di sini hari ini berkata, antara masjid yang menerima sumbangan itu ialah Masjid As-Saadah, Surau Diri Jumaat Hidayatul Islamiah, Masjid Daerah Sultan Idris Shah II, Masjid India Muslim, Masjidun Naim, Masjid Nurul Hijrah, Masjidut Taqwa, Masjid As Saadah, Masjid Al Hairiah, Masjid Jamek Kampung Batak Rabit dan Masjid Abdul Salam Al Mas’ud.

Turut menerima sumbangan ialah Masjid Taman Desa Bakti, Surau Diri Jumaat Alyahyawiah, Masjid Al-Maidah, Masjid Jamek Kampung Ayer Hitam, Masjid Jamek Kampung Bharu Changkat Jong, Masjid Annur, Masjid Ahmad Saifudin Iskandar, Masjid Jamek Ladang Ulu Bernam dan Masjid Shamsul Maarif.

Pada majlis berbuka puasa itu, Kor Ming turut menyampaikan bantuan berupa beg prihatin yang mengandungi pelbagai barangan keperluan makanan termasuk beras dan sardin kepada 10 keluarga.

Terdahulu, Kor Ming yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP menyantuni masyarakat di Bazar OCBC Teluk Intan dan turut menderma bagi membantu penubuhan surau di kawasan itu.

Beliau turut menziarahi Pengerusi Masjid An-Naim, Abdul Rahman Abdul Razak, 73, yang dimasukkan ke wad Hospital Anson Bay kerana sakit tua.

Kor Ming mula mengenali Abdul Rahman sewaktu pihak masjid berkenaan ingin mendapatkan peruntukan bagi tujuan membaik pulih rumah ibadat itu.

Pemberian bantuan kepada masjid dan umat Islam bukan asing kepada Kor Ming kerana beliau baru-baru ini mengumumkan pemberian peruntukan RM1.6 juta bagi projek Masjid Al-Taqwa di Kampung Padang Tembak Teluk Intan dan RM150,000 kepada Masjid An-Naim di Taman Seri Setia Teluk Intan bagi tujuan membaik pulih serta menaik taraf kedua-dua masjid tersebut. - BERNAMA