Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Seri Wan Mohd. Nor Ibrahim berkata, sebanyak empat daripada balai bomba itu dibina di kawasan bandar manakala 16 lagi di luar bandar.

“Tiga daripadanya dibina di Negeri Sembilan iaitu di Gemencheh, Rantau dan Seri Menanti.

“Lokasi balai bomba sangat penting kerana kemudahan itu akan memudahkan anggota bomba tiba di tempat kejadian tanpa mengambil masa yang panjang. Ini kerana masa bertindak balas yang cepat merupakan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada JBPM,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Pingat Kebesaran Jabatan, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2017 dan Sijil Perkhidmatan Lebih 30 Tahun JBPM Negeri Sembilan di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengarah JBPM negeri, Norazam Khamis.

Seramai 15 pegawai mene­rima Pingat Kebesaran Jabatan, 57 orang bagi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2017 manakala 13 pegawai menerima Sijil Anugerah Perkhidmatan Lebih 30 Tahun.

Dalam perkembangan lain, Wan Mohd. Nor berkata, operasi JBPM dijangka lebih berkesan apabila bakal menerima 18 jentera baharu jenis Aireal Ladder Platform (ALP) dari Itali yang bernilai RM87.3 juta pada tahun ini.

“Jentera itu mampu melakukan tugas menyelamat di bangunan setinggi 10 tingkat termasuk operasi memadam kebakaran. Aset-aset ini akan tiba secara berperingkat-peringkat bermula tahun ini,” ujarnya.

Beliau memberitahu, pada masa ini terdapat 14,000 pegawai dan anggota bomba tetap di seluruh negara serta 2,000 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) di seluruh negara.

Ujarnya, tidak banyak pertambahan jawatan diterima JBPM pada tahun ini namun, perkara itu diatasi melalui pelarasan dalaman selain menggunakan khidmat PBB berkenaan.