Kesemua lelaki berusia antara 20 hingga 70 tahun itu yang dikatakan memulakan pendakian kira-kira pukul 9.30 pagi gagal menuruni bukit pada waktu petang selepas berehat kerana ke­adaan persekitaran yang gelap.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, lampu suluh yang dibawa juga tidak dapat digunakan kerana kehabisan bateri sekali gus menyukarkan pergerakan mereka.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor memaklumkan, pihak­nya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10 malam.

Katanya, kesemua mangsa berjaya dibawa turun pada pukul 12.30 tengah malam dan menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum pulang.

Salah seorang daripada mang­sa yang dikenali sebagai Wak, 26, berkata, mereka tidak sesat, cuma lambat turun disebabkan seorang pendaki yang berumur 70 tahun selain diburukkan oleh hujan.

Katanya, mereka mula turun kira-kira pukul 6.30 petang dan perjalanan agak perlahan di­sebabkan perlu menjaga pendaki yang berusia 70 tahun itu.

“Dia sudah tidak larat dan kita kena bergerak secara perlahan kerana mahu memastikan ke­selamatannya,” katanya.

Ditanya mengenai bomba yang datang menyelamat, jelasnya, mereka tidak memanggil atau meminta bantuan untuk turun sebaliknya orang kampung yang berbuat demikian.

Jelasnya, mereka yakin mampu turun dengan selamat pada malam itu dan terkejut dengan kehadiran anggota bomba.

“Mungkin ada ahli keluarga yang risau sebab kami tidak turun hingga pukul 8 malam tetapi sebenarnya kami masih selamat dan tidak ada apa-apa yang berlaku,” jelasnya.