Lee Chee Leong
LEE CHEE LEONG

Menurut Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Lee Chee Leong, kondominium dan pangsapuri berharga lebih RM500,000 mendominasi kediaman (siap dibina) yang tidak terjual dalam negara.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap pada majlis taklimat Pasaran Awalan Harta Tanah 2017 di Kementerian Kewangan, di sini hari ini.

Bercakap kepada pemberita kemudiannya, beliau berkata, lokasi dan harga kediaman turut menjadi faktor kepada masalah tidak terjual.

"Di Kuala Lumpur, kediaman berharga RM300,000 dianggap mampu milik tetapi perkara ini mungkin berbeza mengikut negeri," katanya.

Justeru, Lee menyarankan pihak berkuasa tempatan membuat kajian pasaran menggunakan statistik dan petunjuk pasaran harta tanah yang diterbitkan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta di bawah Kementerian Kewangan sebelum mempertimbangkan kelulusan pembangunan harta tanah.

"Saranan yang sama juga diberikan kepada pemaju harta tanah supaya keputusan yang tepat dapat dibuat bagi menjamin kelestarian pasaran harta tanah negara," katanya.

Dalam perkembangan yang sama, beliau berkata, terdapat sebanyak 68,000 unit kediaman mula dibina pada separuh pertama 2017, meningkat 16 peratus berbanding jumlah yang dicatat pada separuh pertama 2016.

"Peningkatan ini disumbangkan oleh unit strata yang kebanyakannya terletak di Kuala Lumpur. Kenaikan 16 peratus dalam projek permulaan harta tanah ini memberi petanda bahawa terdapat keyakinan terhadap ekonomi negara, jika tidak, mereka (pemaju perumahan) tidak akan memulakan projek berkenaan," katanya. - BERNAMA