Kejadian sadis tersebut disahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat dan jelasnya, polis kini menyiasat kes tersebut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Menurutnya, siasatan awal oleh Pasukan Siasatan Tempat Kejadian (CSI) mendapati terdapat kesan luka dipercayai akibat tetakan pada badan tiga daripada empat mangsa sebelum kesemuanya dibakar oleh penyerang.

Namun katanya, buat masa ini, pihak berkuasa belum dapat menentukan punca kematian seorang lagi mangsa, apakah akibat terbakar atau sebaliknya.

“Pada jam 5.50 pagi, Balai Polis Tanjung Sepat menerima panggilan daripada orang awam memaklumkan kebakaran melibatkan sebuah rumah berdekatan Tokong Cina, dan setelah kebakaran dipadamkan, empat mayat rentung dijumpai.

“Hasil siasatan awal, bomba mendapati ada unsur khianat dan siasatan oleh pasukan CSI pula menemukan kesan tetakan pada badan tiga daripada mangsa. Kesemua mangsa dipercayai dibunuh dan kemudiannya dibakar,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chia Tee Nang, 73, dan isterinya, Lim Mai Shak, 68, serta dua cucunya, Ryan Chia, 9, dan Chia Yuan Bin, 3, ditemui rentung dalam kebakaran di rumah warga emas itu di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat.

Dalam pada itu, Fadzil berkata, buat masa ini belum ada tangkapan di buat dan pihaknya sedang menyiasat daripada pelbagai sudut mengenai punca sebenar kejadian sehingga membawa kepada pembunuhan tragis tersebut.

“Siasatan lanjut sedang dibuat dan begitu juga punca kematian semua mangsa yang akan disahkan sepenuhnya selepas proses bedah siasat selesai dilakukan,” katanya. -UTUSAN ONLINE