Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak, Datuk.S. Dev Kumar berkata, dua anggota masing-masing berpangkat Lans Koperal dan Konstabel Sokongan serta seorang lagi pegawai awam itu telah menahan mangsa iaitu seorang pemuda tempatan berusia 26 tahun di belakang Stadium Miri pada pukul 5 pagi, Ahad lalu.

Katanya, selepas memperkenalkan diri sebagai polis, mereka memaksa mangsa masuk ke dalam keretanya dan salah seorang suspek menunjukkan satu plastik mengandungi ketulan putih disyaki dadah jenis syabu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dev. Kumar berkata, suspek telah memerangkap dan menakutkan mangsa mendakwa dia terlibat dalam pengedaran dadah dan  memintanya menyerahkan wang RM10,000 jika mahu dilepaskan.

Beliau berkata, mangsa dipaksa mengeluarkan wang daripada akaunnya melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) tetapi jumlah dapat dikeluarkan tidak mencukupi RM10,000.

Katanya, suspek kemudian mengurung mangsa dalam bilik hotel sehinggalah berjaya memperdayakan mereka agar mengikutnya pulang ke rumahnya di Pujut di sini kerana ibunya bersetuju menyediakan wang diminta.

"Tiba di rumah, mangsa mengambil kesempatan menghubungi polis menyebabkan suspek melarikan diri tetapi akhirnya dapat ditangkap di IPD Miri, kelmarin," katanya sambil memberitahu ketiga-tiga suspek didapati positif syabu. - UTUSAN ONLINE