Dalam kejadian kira-kira pukul 4 pagi itu, mangsa yang maut ialah Noorain Mokhtar, 23, ber­asal dari Sungai Besar, Selangor dan Muhammad Kamil Md. Sukri, 22, dari Sabak Bernam, Selangor.

Difahamkan ketika kejadian, Noorain dan Muhammad Kamil bersama beberapa mangsa lain dipercayai sedang menyediakan masakan sebelum dihempap sebatang pokok sebesar pemeluk yang tumbang di kawasan terbabit.

Inisiden itu turut mengakibatkan Abdul Muaz Abdul Razak, 22, dari Ipoh, Perak; Mohd. Ammar Affandi Ahmad Subki, 20, dari Padang Serai, Kedah; Nur Farah Izzatul Azira Md Fauzi, 20, dari Kulai, Johor; Farah Hanisah Hamdan, 22, dari Parit Buntar, Perak dan Ainin Sofea Abd Shukor, 21, dari Benut, Johor mengalami ce­dera ringan.

Sementara itu, seorang lagi mangsa, Muhammad Haziq Radzuan, 21, dari Bandar Puncak Alam, Selangor parah dalam kejadian itu dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan.

Ketua Polis daerah, Superintenden Mohamad Mansor Mohd. Nor berkata, kejadian berlaku ketika kesemua mangsa menyertai aktiviti perkhemahan diiringi empat pensyarah mengadakan aktiviti survival di kawasan air terjun berkenaan.

“Polis menerima panggilan pada pukul 4.30 pagi tadi me­ngenai peserta perkhemahan berkenaan yang dihempap pokok dan seorang mangsa, Noorain Mokhtar meninggal du­nia selain enam lagi mangsa mengalami kecederaan dan seorang lagi hilang (Muhammad Kamil)

“Mangsa yang dilaporkan hilang kemudiannya ditemukan turut dihempap pokok pada pukul 12.15 tengah hari dan disahkan meninggal dunia,” katanya di sini hari ini.

Mohamad Mansor berkata, mangsa yang maut dihantar ke Hospital Bentong untuk bedah siasat dan lima mangsa cedera dirawat di hospital sama.

Mohamad Mansor membe­ritahu, peserta berkenaan mula melakukan aktiviti perkhemahan di kawasan itu semalam dan dijadualkan pulang esok.

Sementara itu, seorang peserta yang enggan dikenali berkata, semasa kejadian, dia hanya mendengar bunyi kuat pokok tumbang sebelum melarikan diri ke pangkal pokok berkenaan.

“Saya bersama empat lagi rakan bernasib baik kerana ber­ada di bahagian pangkal akar pokok dan tidak dihempap pokok de­ngan kuat,” katanya.