Pegawai Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Kulai, Mohd. Iskandar Abu Bakar berkata, mangsa yang berusia 10 dan 13 tahun itu dalam keadaan baik dan kini menunjukkan perkembangan positif.

‘‘Mereka beri respon yang baik, mereka suka tinggal di sana. Mereka ada bertanyakan tentang ibu mereka tetapi kita terpaksa merahsiakan di mana emaknya.

‘‘Kita tidak mahu emosi mereka terganggu bila dapat tahu di mana emak mereka,’’ katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kanak-kanak tersebut menjadi mangsa pelacuran oleh ibu kandungnya sendiri kepada dua lelaki warga Bangladesh antara 1 hingga 7 Oktober lalu.

Ibu kepada mangsa berusia 39 tahun dijatuhi hukuman penjara 75 tahun Mahkamah Sesyen Johor Bahru semalam selepas tertuduh mengaku salah melacurkan dua anaknya.

Polis di sini semalam menyatakan, pihaknya sudah mengenal pasti lokasi persembunyian tiga lagi lelaki warga Bangladesh termasuk dalang utama kes berkenaan.

Ketiga-tiga suspek termasuk teman lelaki kepada ibu mangsa berusia 30-an itu dikatakan bersembunyi di Johor serta beberapa negeri sejak beberapa tahun lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Iskandar berkata, pihaknya kini masih menjalankan siasatan terhadap kedua-dua mangsa dan sedang mengesan ahli keluarga terdekat mereka.

‘‘Jika tidak dapat kesan, kita akan dapatkan Perintah Tetap di bawah Akta Kanak-kanak 2001 untuk menjaga kanak-kanak terbabit,’’ katanya.

Difahamkan, kedua-dua mangsa mempunyai dua lagi adik-beradik namun dijaga ahli keluarga di Melaka.