KUALA LUMPUR 11 Ogos  -  Sebanyak 2,845 premis melebihi 10 tingkat di seluruh negara dikesan masih tidak memiliki sijil perakuan bomba (FC) seperti ditetapkan di bawah Perintah Perkhidmatan Bomba 1998.

Senario itu amat membimbangkan berikutan ketiadaan FC, seumpama menduduki atau menggunakan premis yang tidak memenuhi syarat dan aspek keselamatan sebagai persediaan bencana.

Antara punca ba­ngunan terbabit tidak memiliki FC adalah di­sebabkan premis ber­kenaan gagal meme­­nuhi spesifikasi teknikal keselamatan seperti tidak mempunyai laluan untuk menyelamatkan diri serta tidak dilengkapi dengan kemudahan selain alat pencegahan, perlindungan dan penentang kebakaran.

Masalah itu tidak boleh dipandang ringan kerana melibatkan soal nyawa terutamanya apabila berlaku kejadian seperti kebakaran, apatah lagi pemilikan FC itu diwajibkan terhadap bangunan ketinggian melebihi 30 meter.

Berdasarkan rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), sepanjang tempoh 2001 hingga Jun lalu, hanya 5,713 premis sudah memiliki FC daripada 8,558 premis ditetapkan wajib memilikinya, manakala 2,845 masih tidak memperolehnya.

Menambah kegusaran, ia ibarat jerangkap maut bagi penghuni dan pengguna premis berkenaan kerana kesemua premis terbabit mempunyai keluasan lebih 10,000 kaki persegi serta keupayaan bagi menampung 1,000 orang dalam tempoh satu jam dan bayangkan sekiranya berlaku kebakaran.

Lebih membimba­ngkan, rekod bagi tempoh Januari hingga Jun lalu mencatatkan 1,804 bangunan yang tidak memiliki FC itu membabitkan premis seperti hotel (815), pejabat (347), kilang (212), kedai (157), tempat perhimpunan (116), hospital (38), stor (40) dan perpustakaan (17).

Bilangan premis itu me­rangkumi 293 premis kerajaan dan 1,511 bangunan swasta.

Menurut Penolong Ke­tua Pengarah Bahagian Ke­­selamatan Kebakaran JBPM, Datuk Rusmani Muhamad, bilangan premis itu merangkumi 293 premis kerajaan dan 1,511 bangunan swasta serta menggesa supaya pemilik bangunan ber­kenaan mendapatkan sijil FC sebelum tindakan tegas diambil.

Jelas beliau, daripada kese­luruhan jumlah premis yang tidak mempunyai FC, 1,047 merupakan bangunan yang tidak pernah memohon, manakala 1,041 tidak patuh ke­selamatan kebakaran, selain 757 pula berstatus permohonan yang tidak lengkap.

“Kita telah mengeluarkan notis peringatan berser­ta borang 1 kepada 1,047 bangunan tersebut, manakala premis yang memohon tetapi terdapat ketidakpatuhan keselamatan kebakaran pula diberikan tempoh masa tertentu yang bersesuaian dengan tindakan.

“Selain itu, 717 premis pula dalam proses untuk pendakwaan yang mana kita sedang me­nyiapkan laporan kesalahan ber­kenaan dengan perakuan bomba penyediaan kertas siasatan (FC 7),” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Menurut Rusmani, pihaknya turut menunggu permohonan daripada 120 bangunan baharu membabitkan 72 buah yang dibina di Negeri Sembilan; Putrajaya (31); Perak (13) dan Labuan (2).

Jelas beliau, setiap premis yang dibina dan diduduki perlu melalui beberapa proses kelulusan dan ia sememangnya diketahui oleh setiap arkitek yang mereka bentuk bangunan terbabit, malah perlu memaklumkannya kepada pemilik premis berkenaan.

Ketika ditanya mengenai ba­ngunan lama pula, beliau memberitahu, bangunan tersebut juga perlu melalui proses mendapatkan perakuan menduduki dengan menyediakan pelan ba­ngunan baharu, khususnya jika pemilik premis melakukan pengubahsuai­an.

Beliau bagaimanapun tidak da­pat menyatakan jumlah ba­ngunan lama yang terdapat di negara ini berikutan pihaknya hanya merekodkan jumlah keseluruhan premis yang ada.