Organ haiwan liar itu yang dilindungi undang-undang dirampas oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam tiga operasi penguatkuasaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLlA) dan Pelabuhan Barat Klang, tahun lalu.

Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr. A. Xavier Jayakumar berkata, sisik tenggiling itu yang menjadi barang kes telah mendapat perintah pelupusan daripada mahkamah dan dilupuskan seperti yang diperuntukkan Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

“Cara pelupusan barang kes ini ialah dengan menggunakan kaedah sistem insinerator melalui teknologi tanur berputar (rotary klin) yang beroperasi pada suhu melebihi 1,000 darjah celsius bagi memastikan ia tidak akan kembali ke pasaran gelap.

“Populasi tenggiling diancam oleh aktiviti jenayah seperti pemburuan haram, penyeludupan hidupan liar dan pencerobohan kawasan perlindungan. Tenggiling diburu untuk dijadikan makanan eksotik dan bahan dalam pembuatan ubat tradisional,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyaksikan pelupusan sisik tenggiling itu di sini hari ini. 

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Pengerusi Cenviro, Tan Sri Dr. Azmil Khalili Khalid.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Xavier Jayakumar memberitahu, Malaysia telah dijadikan transit pasaran gelap sisik tenggiling dari negara-negara Afrika seperti Ghana dan Cameroon untuk dihantar ke negara seperti China, Vietnam dan Hong Kong.

Jelasnya, di negara ini, harga sisik tenggiling adalah antara RM500 hingga RM600 sekilogram dan melonjak sehingga RM13,000 jika dijual kepada pasaran gelap di luar negara.

“Berdasarkan siasatan pihak berkuasa, tenggiling hidup berharga RM4,165 (USD1,000) seekor mengikut saiz manakala dagingnya bernilai RM1,249 (USD300) sekilogram.

“Bagi membanteras pasaran gelap tenggiling, Malaysia akan meminta kerjasama negara-negara seperti China untuk sama-sama menghentikan perdagangan haram hidupan liar,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE