Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem berkata, daripada jumlah itu, 81 peratus memilih untuk menceburi bidang pekerjaan baharu manakala 18 peratus lagi mahu bekerja sendiri.

“Saya berasa puas hati dengan operasi dan program yang telah dijalankan oleh pihak CDC dalam membantu kakitangan MAS yang diberhentikan di bawah pelaksanaan pelan pemulihan syarikat itu.

“Malah, tiga hari karnival kerjaya yang dianjurkan pada Jun dan Julai oleh CDC di Akademi MAS juga menyaksikan kira-kira 60 syarikat tempatan dan antarabangsa tampil menawarkan peluang pekerjaan kepada bekas kakitangan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di CDC hari ini.

Yang turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Saripuddin Kasim; Pengerusi CDC, Tan Sri Bashir Ahmad Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif CDC, Shahryn Azmi.

CDC yang memulakan operasinya pada 1 Jun lalu ditubuhkan oleh Khazanah Nasional Berhad bagi menawarkan perkhidmatan penempatan pekerjaan dan latihan percuma kepada kakitangan MAS yang tidak menerima tawaran daripada syarikat baharu (MAS NewCo).

Mengulas lanjut, Richard berkata, CDC mempunyai tenaga kerja berpengalaman dan terlatih untuk memberikan panduan dan sokongan bagi membantu pekerja dalam kerjaya masa hadapan.

Sementara itu, Shahryn berkata, sebanyak 50 peratus daripada jumlah berdaftar dengan CDC adalah kakitangan bahagian penyelenggaraan dan kejuruteraan MAS.

Katanya, kumpulan itu antara yang paling mudah mendapat pekerjaan baharu susulan tawaran daripada pelbagai syarikat terkemuka, khususnya dalam industri penerbangan.

Selain itu, tambah beliau, pihaknya pada ketika ini hanya mahu fokus kepada penyertaan kakitangan MAS yang ditamatkan kontrak di bawah pelan pemulihan syarikat.

“Kami ingin beri peluang kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang lebih baik kerana kebanyakan mereka mempunyai kemahiran, pengalaman dan kepakaran luas dalam bidang masing-masing.

“Justeru, CDC akan terus membantu menerusi penyediaan latihan berkaitan dan menjalin kerjasama dengan sektor perkhidmatan bersesuaian kepada pekerja tersebut,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Richard berkata, sebanyak 11,023 kakitangan daripada 278 majikan mewakili pelbagai sektor telah diberhentikan atas pelbagai sebab dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Bagaimanapun, risiko peningkatan pengangguran dalam kalangan rakyat Malaysia tidak akan timbul kerana Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK 11) dijangka berupaya mewujudkan kira-kira 330,000 peluang pekerjaan.

“Kajian mengenai sumber manusia mendapati seseorang individu menukar bidang pekerjaannya tiga kali sepanjang seumur hidup mereka, justeru statistik lebih 100,000 kakitangan diberhentikan adalah normal sekiranya dilihat menerusi perspektif berbeza,” katanya.