Dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan itu, seramai 41 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 163 graduan sarjana, sarjana muda (2,384) dan diploma (129).

Istiadat pembukaan majlis disempurnakan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah yang juga Canselor UMT.

Turut berangkat Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan anakanda baginda, Tengku Fatimatuz Zahra’.

Yang hadir sama, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan isteri, Toh Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Datuk Mohd Zuber Embong; Pro Canselor UMT, Tan Sri Samsudin Osman dan Naib Canselor UMT, Prof. Datuk Dr. Nor Aeini Mokhtar.

Dalam majlis itu, UMT  menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Sains kepada empat penerima iaitu Prof. Datuk Ir. Dr. Abu Bakar Jaafar dan Dr. Mazlan Madon.

Dua lagi penerima ialah Prof. Dr. Paul John Layzell dan Prof. Dr. Stephen John Cluver.

Anugerah Pelajaran Diraja dirangkul oleh graduan Ijazah Sarjana Muda Kaunseling, Muhammad Asyraf Afif Ramli, 26 dan  Malvindran A/L Ravie 24, (Ijazah Sarjana Muda Sains, Sains Nautika dan Pengangkutan Marin).

Anugerah Pingat Emas Canselor pula menjadi milik graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Agrotekologi Akuakultur, Mohammad Fazwan Arif Mohd. Azni.

Anugerah Pro Canselor diraih oleh Chai Mui Nyuik (Doktor falsafah Fizik) dan Mat Rahimi Yusof (Doktor falsafah komunikasi) manakala anugerah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti kepada Noor Fadilah Yusof (Ijazah Sarjana Muda Kimia) dan Mohammad Khairuddin Othman (Ijazah Sarjana Muda Sains Pengurusan Maritim). - UTUSAN ONLINE