Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Datuk Ahmad Ishak berkata, bekalan jagung tersebut diperoleh dari tiga daerah iaitu Kuala Pilah, Jempol dan Rembau.

“Jagung Taiwan Super Sweet 316 yang dibekalkan mempunyai kadar kema­nisan 17.8 mengikut index Brix dan akan dijual pada harga RM10 bagi 12 tongkol di MAHA.

“Selain jagung terus dari ladang, produk hasil jagung seperti jagung lerai dan air jagung turut dijual, selain bingka jagung terbesar dihasilkan akan tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR),” katanya dalam sidang akhbar selepas program simbolik penuaian 2.5 juta tongkol jagung untuk MAHA 2016 di sini hari ini.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA, Ab. Razak Ab. Majid dan Pengarah FAMA negeri, Muslim Manja.

Menurut Ahmad, MAHA kali ini memperkenalkan jagung sebagai tarikan jualan di samping buah durian belanda yang dijadikan Fruit of Event.

Katanya, jagung menjadi pilihan kerana FAMA ingin memperkenalkan potensi tanaman tersebut kepada usahawan tani terutama petani generasi muda, selain me­nunjukkan aktiviti penanamannya mampu memberi pendapatan lumayan.

“Sebagai contoh, pengusaha ladang Kampung Parit Seberang di sini memanfaatkan tanah terbiar seluas 56 hektar dan menggunakan kemahiran menanam jagung sehingga memperoleh pendapatan sebanyak RM1.1 juta.

“Statistik Jabatan Pertanian pada tahun ini juga  mencatatkan seluas 5,000 hektar tanaman jagung manis di­usahakan di seluruh negara dan ini jelas menunjukkan aktiviti tanaman jagung kian mendapat tempat dalam kalangan petani,” katanya.