Program yang julung kali diadakan ini bagi mengeratkan hubungan masyarakat dengan

syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu, dan pelepasan disempurnakan oleh Pengerusi LRTSB, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Hadir sama, Ketua Eksekutif LRTSB, Che Ku Hafeez Che ku Denang dan Ketua Pegawai Eksekutif Golden Pharos Berhad, Datuk Ahmad Nadzarudin Abdul Razak.

Pengerusi program, Mohd Suhaimi Hassan berkata, penyertaan terdiri daripada warga Bandar Ceneh Baharu dan penempatan sekitarnya, Felda Neram 1 dan Felda Cerul yang bersaing dalam 11 kategori yang dipertandingkan meliputi pelbagai peringkat usia.

“Ini termasuklah kategori veteran lelaki sejauh 6 kilometer (km), veteran wanita (4km), berpasangan suami isteri (4km), terbuka lelaki (8km), terbuka wanita (6km), pelajar sekolah menengah lelaki dan perempuan (6km) di samping murid sekolah rendah tahap 2 lelaki dan perempuan (4km).

“Kita juga mengadakan senamrobik sebelum larian dimulakan, dan bagi memeriahkan lagi program, kita turut mengadakan 40 cabutan bertuah dengan hadiah utama tiga buah basikal bernilai RM2,000, RM1,500 dan RM1,000 dan juga hamper.

“Program ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) LRTSB kepada masyarakat setempat, dan melihat kepada sambutan yang amat menggalakan, kita mungkin akan menjadikannya sebagai acara tahun,” ujar beliau.

Menurut Mohd Suhaimi, selain mengeratkan hubungan, program itu turut mengalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti riadah dan kecergasan agar menjadi amalan dalam mencorak masyarakat yang mengamalkan budaya hidup cergas.-UTUSAN ONLINE