Ketua Wanita UMNO nege­ri, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, selain membantu dengan berkunjung dari rumah ke rumah, skuad berkenaan juga bertumpu di pusat-pusat pe­min­dahan di lokasi yang terjejas teruk dengan banjir.

Antaranya, kata beliau, di pu­sat-pusat pemindahan di sekitar daerah ini, Kepala Batas dan Permatang Pauh.

“Di pusat-pusat peminda­han, Skuad Sayang Wanita UMNO turut terlibat memasak ma­kanan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Selain itu, kita juga menghulurkan sumbangan berupa ma­kanan dan keperluan harian­ dalam kunjungan ke rumah mangsa yang terjejas banjir,” ka­tanya selepas mengadakan lawatan dan membantu mangsa banjir di pusat pemindahan Tanjung Putus, Permatang Pauh di sini hari ini.

Dalam pada itu menurut Norliza, selain menjalankan kerja-kerja kebajikan, Skuad Sayang Wanita UMNO turut menjadi perantara dalam menyampaikan maklumat kepada agensi-agensi penyelamat.

Menurut beliau, usaha itu se­cara tidak langsung dapat mempermudahkan urusan penyaluran bantuan kepada mangsa-mangsa banjir.

“Selepas ini, Skuad Sayang Wanita UMNO juga akan be­kerjasama dengan agensi-agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk membantu membersihkan rumah mangsa banjir, khususnya selepas semua pusat pemindahan ditutup,” katanya.