Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Al-Amin Abdul Majid berkata, sepanjang 19 kali penganjuran sebelum ini, pihaknya telah me­nerima 1,927 pencalonan daripada PKS di seluruh negara bagi menyertai anugerah berprestij untuk mengiktiraf pencapaian syarikat tempatan yang mempunyai kedudukan yang stabil pada masa depan.

“Kami yakin jumlah tersebut dapat dicapai kerana terdapat ramai calon PKS yang layak dan memenuhi kriteria yang kami inginkan.

“Sehingga kini, sebanyak 664 syarikat telah dinobatkan sebagai penerima anugerah dan 60 daripadanya telah disenaraikan dalam Bursa Saham manakala 50 buah syarikat di Pasaran Utama serta 10 lagi di Pasaran ACE,” katanya selepas merasmikan pelancaran Anugerah Enterprise 50 2017 kali ke-20, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim dan Pengarah Eksekutif Deloitte, Dr. Nordin Zain.

Menurut Mohamed, pencalonan tersebut dibuka mulai hari ini sehingga 16 Jun depan.

Katanya, anugerah tersebut dijangka berlangsung pada 17 November depan dan mendapat sokongan padu daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Katanya lagi, anugerah tersebut yang dianjurkan bersama oleh SME Corp dan Deloitte mampu memberi peluang kepada entiti terpilih untuk berkembang lebih maju ke hadapan dan calon yang disenarai pendek untuk merebut anugerah ber­kenaan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Sementara itu, Hafsah pula berkata, pihaknya menyasarkan sebanyak 50 peratus daripada PKS di negara ini beroperasi menerusi atas talian menjelang tahun 2020.

“Kita yakin sasaran tersebut dapat dicapai memandangkan buat masa ini sebanyak 32 peratus PKS telah beroperasi perniagaan menerusi atas talian,” katanya.

Tegasnya lagi, bagi menggalakkan lebih ramai PKS membabitkan diri dalam dagangan elektronik, pihaknya telah menjalinkan kerjasama dengan beberapa pengendali dagangan elektronik termasuk 11street dan juga Lazada bagi menubuhkan akademi dalam latihan.