Sumber memberitahu, pegawai pengawal sempadan Myan­mar dikatakan menyerbu Kam­pung Kyee Kan Pyin dan mengarahkan penduduk meninggalkan penempatan mereka.

Arahan secara mengejut itu membuatkan penduduk hanya sempat mengambil barang ke­perluan asas ketika pihak ke­selamatan meningkatkan usaha memburu kumpulan bersenjata Rohingya yang menyerang pasukan pengawal sempadan pada 9 Oktober lalu.

Tindakan tersebut meningkatkan lagi keganasan di negeri Rakhine ketika hubungan antara Rohingya dan majoriti penduduk Buddha berada pada tahap te­rendah sejak konflik agama dan etnik tersebut tercetus pada 2012 mengakibatkan ratusan orang terbunuh dan ribuan lagi menjadi pelarian.

Menurut kerajaan, tentera dan polis di Rakhine sedang meme­rangi sebuah kumpulan bersenjata yang didakwa dianggotai kira-kira 400 orang etnik Rohingya dan mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas luar negara.

Bagaimanapun ketika tentera memburu kumpulan bersenjata itu, penduduk Rohingya mendakwa pasukan keselamatan Myan­mar membunuh orang awam tidak bersenjata dan membakar rumah mereka.

Kata seorang saksi dari Kampung Kyee Kan Pyin, sebaik sahaja tentera tiba di kampung itu, pasukan keselamatan memerintahkan penduduk meninggalkan rumah masing-masing dan jika enggan, mereka akan ditembak.

“Semalam saya diusir dan kini saya tinggal di sawah padi di luar kampung saya bersama penduduk lain termasuk keluarga saya. Kini saya tidak mempu­nyai tempat tinggal,” kata seorang penduduk yang enggan namanya disiarkan.

Ada di antara penduduk yang diusir, menumpang di kampung bersebelahan namun kebanyakannya bersembunyi di kawasan sawah padi.

Sementara itu, seorang jurucakap kerajaan, Mynt Kyaw memberitahu, kerajaan tidak dapat menghubungi mana-mana individu di kawasan berkenaan kerana daerah tersebut kini diisytihar sebagai zon merah tentera.

“Seorang lelaki Islam meng­hubungi saya pagi ini ketika mereka diusir dari rumah tetapi saya tidak dapat mengesahkan maklumat itu,” katanya.

Pihak tentera Myanmar ba­gaimanapun enggan mengulas berhubung laporan itu. – REUTERS