Mohd. Irwan Siregar Abdullah

Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Mohd. Irwan Siregar Abdullah berkata, ini berikutan syarikat pelaburan milik kerajaan itu memperoleh lanjutan daripada firma tersebut bagi menjelaskan hutang berkenaan.

Bagaimanapun, beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah 1MDB memberitahu, pihaknya mengambil masa untuk menjelaskan bayaran tersebut kerana ia berkaitan dengan penjualan unit-unit dan perlu mematuhi beberapa keperluan kawal selia.

“Ini adalah soal masa. Apabila masanya tiba, kita akan membayarnya,” katanya selepas majlis pelancaran semakan harga rumah untuk penjawat awam dan majlis menandatangani memorandum persefahaman antara Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan Khazanah Research Institute (KRI) di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Datuk Dr. Rahah Ismail dan Pengarah Urusan KRI, Datuk Charon Mokhzani.

Berdasarkan kenyataan 1MDB minggu lalu, syarikat tersebut sepatutnya menjelaskan bayaran hujung bulan lalu dan kemudiannya dilanjutkan lima hari bekerja sehingga Ogos. Bayaran kepada IPIC itu adalah sebahagian daripada hutang berjumlah AS$1.2 bilion (RM5.14 bilion) yang separuh daripadanya, 1MDB dan Kementerian Kewangan bersetuju untuk membayarnya kepada IPIC.

Penyelesaian bagi peringkat kedua bayaran itu pula menjelang hujung tahun ini.

Dalam pada itu, menurut laporan Reuters yang memetik sumber, firma pelaburan Abu Dhabi itu memberi lanjutan sehingga 31 Ogos kepada 1MDB.