Mohd. Jaafar Juman, 56, berkata, sejak menyertai program itu pada 2011, ia telah membantu beliau menjana pendapatan bulanan bersih sebanyak RM10,000.

“Program ini telah membantu naikkan IQ peserta... selama ini kita tidak dapat berfikir dengan baik tetapi selepas me­nyertai program itu, minda kita semakin terbuka.

“Alhamdulillah, program 1Azam ini banyak membantu cara kita berniaga... terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan,” katanya ketika ditemui Bernama selepas pelancaran Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2016 yang disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di sini malam tadi.

Najib dalam ucapannya berkata, sejak 2010 sehingga 2016, daripada lebih 300,000 peserta program 1Azam, kerajaan dapat mengeluarkan hampir 100,000 peserta daripada kepompong kemiskinan.

Perdana Menteri turut memberi contoh Mohd. Jaafar sebagai seorang daripada peserta 1Azam yang berjaya.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Lipidchem Sdn. Bhd., Cheng Yin Teong berkata, beliau yang mula berkecimpung dalam penghasilan produk kesihatan berasaskan kelapa sawit tidak pernah menyangka akan dapat menembusi pasaran global.

“Geran bernilai lebih RM12.5 juta yang diperoleh daripada Lembaga Minyak Sawit Malaysia membolehkan saya mengembangkan lagi perniagaan dengan menghasilkan pelbagai produk inovasi baharu seperti suplemen kesihatan dan ubat-ubatan yang lebih berkualiti.

“Saya sangat berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana memberikan saya geran yang membolehkan saya memasarkan produk hingga ke Amerika Syarikat, Eropah dan Jepun, kini saya juga turut mempunyai kilang sendiri di Seri Alam, Johor Bharu” katanya yang mula berke­cimpung dalam bidang tersebut sejak 1972.

Cheng merupakan individu yang turut diraikan Perdana Menteri ketika pembentangan NTP berkenaan hasil kejayaan dalam Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) di sektor kelapa sawit.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Biocare Group (M) Sdn Bhd, G. Saravanan pula me­nyifatkan kecekapan perkhidmatan kerajaan ketika beliau memulakan perniagaan telah merealisasikan impiannya untuk membantu lebih 100 lagi rakyat tempatan.

Memiliki kilang yang menghasilkan produk farmaseutikal di Perak, beliau amat bersyukur kerana usaha gigihnya selama ini berhasil atas sokongan tanpa henti oleh kerajaan. – BERNAMA