Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, perintah larangan ini dibuat mengikut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) iaitu melarang secara mutlak percetakan, pengimportan, penghasilan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengedaran atau pemilikan hasil penerbitan di negara ini.

Beliau berkata, isi kandungan dan artikel 13 penerbitan itu didapati berunsur seks serta memuatkan gambar lucah yang keterlaluan dan tidak bersesuaian dengan norma kehidupan masyarakat negara ini.

Menurutnya, tajuk penerbitan itu ialah Revenge of the Sarong Party Girl; Fifty Shades of Bliss; The Ultimate Guide To Spicing Up Your Sex Life; Maxim (Vol 18, No 9 November 2014) (USA Edition); Maxim (Volume 18, No.5 Jun 2014) (USA Edition); Pop Psychedelic; Only Two Can Play; Black Men Special Edition; The Loving Touch; The Book of Loving Sex; Kamasutra & Kecerdasan Seks Moden; Nikmatnya Melayari Bahtera Malam Pertama; Pelacur Kelas Pertama dan Nazi Goreng.

“Sementara tiga penerbitan lain didapati mengandungi fakta yang mengelirukan dan bertentangan dengan ajaran serta akidah Islam sebenar mengikut Mazhab Ahli Sunnah Wal Jamaah kerana mengelirukan orang ramai dan dika­tegorikan sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenarnya,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Alwi menambah, tajuk penerbitan berkenaan ialah Bila Anak-anak Berta­nya Tentang Allah dan Alam Ghaib Inilah Jawapannya...; Tafsir Al-’Usyr Al-Akhir dari al-Quran Al-Karim Juz (28,29,30) Disertai Hukum-hukum Penting Bagi Seorang Muslim dan juga The Gospel of Ali (Penghargaan Islam Atas Yesus).

Selain itu beliau berkata, terdapat tiga penerbitan lain yang mempunyai unsur mempromosi perjuangan komunis dan Daulah Islamiyyah, serta mungkin boleh memberi implikasi negatif dari sudut keselamatan negara.