Ketua Unit Integriti JBPM, Penolong Pesuruhjaya Bomba Norizan Sulaiman berkata, kebanyakan mereka yang dibuang kerja itu melakukan kesalahan seperti terlibat dengan dadah, rasuah, tidak hadir bertugas dan mempunyai kes mahkamah.

Katanya, 2016 mencatatkan jumlah paling tinggi anggota bomba dibuang kerja iaitu 44 orang diikuti 2013 (41), 2014 (33), 2015 (32), 2017 (21) dan tahun ini sebanyak 12 orang.

“Soal integriti dipandang serius oleh jabatan ini dan kita tidak mahu imej bomba tercalar dengan salah laku yang dilakukan oleh anggota. Jika ada laporan, kita akan siasat dan ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis penutup Bicara Intelektual Pemerkasaan Integriti Zon Utara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar mewa­kili Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid yang tidak dapat hadir.

Yang turut hadir ialah Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Shukor Mahmud.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Saadon berkata, Bicara Intelektual Pemerkasaan Integriti dilaksanakan oleh JBPM sejak 2014.

Katanya, dalam tempoh ter­sebut, seramai 5,767 anggota dan pegawai telah menghadirinya.

“Saya juga mengambil ke­sempatan mengucapkan terima kasih kepada SPRM yang memberi kerjasama penuh dalam memberi penerangan berkaitan soal integriti,” katanya.