Ketua Unit Integritinya, Penolong Pesuruhjaya Bomba, Norizan Sulaiman berkata, kebanyakan mereka yang dibuang kerja itu melakukan kesalahan seperti terlibat dengan dadah, rasuah, tidak hadir bertugas dan mempunyai kes mahkamah.

Katanya, pada 2016 mencatatkan jumlah paling tinggi anggota bomba dibuang kerja iaitu seramai 44 orang diikuti (2013, 41 orang); (2014, 33 orang); (2015, 32 orang); (2017, 21 orang) dan tahun ini, seramai 12 orang.

“Soal integriti dipandang serius oleh jabatan ini dan kita tidak mahu imej bomba tercalar dengan salah laku oleh anggota. Jika ada laporan, kita akan siasat dan mengambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis penutupan Bicara Intelektual Pemerkasaan Integriti Zon Utara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) negeri di sini, hari ini.

Majlis penutupan itu disempurnakan oleh Pengarah JBPM Pulau Pinang, Saadon Moktar yang mewakili Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan Wahid yang tidak dapat hadir.

Yang turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) negeri, Mohd. Shukor Mahmud.

Sementara itu, mengulas mengenai majlis tersebut, Saadon berkata, Bicara Intelektual Pemerkasaan Integriti telah dilaksanakan oleh JBPM sejak 2014.

Katanya, dalam tempoh tersebut, seramai 5,767 anggota dan pegawai menghadiri program berkenaan.

“Saya juga mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada SPRM yang memberi kerjasama penuh memberi penerangan berkaitan soal integriti,” katanya. - UTUSAN ONLINE