Ketua Pengarahnya, Datuk Abibullah Samsudin berkata, matlamat utama penganjuran program tersebut meningkatkan pencapaian akademik murid pada peringkat SPM terutama mereka dalam kumpulan prestasi sederhana dan lemah khususnya di luar bandar.

“Murid akan diberikan tip dan teknik menjawab soalan dengan betul serta bimbingan guru dan pakar ke arah mencapai kejayaan yang lebih cemerlang.

“Kita mahu pencapaian golongan pelajar sederhana dan lemah ini meningkat dari semasa ke semasa,” katanya dalam sidang akhbar Program Inspirasi 2017 dan Program Perkasa Komuniti di Pulau Bum-Bum di sini hari ini.

Abibullah berkata, sejak program Inspirasi Program Inspirasi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan SPM dilancarkan pada 2016, berlaku peningkatan lebih 50 peratus pencapaian pelajar.

“Melihat kepada pencapaian yang begitu memberangsangkan, kita mengambil keputusan untuk melibatkan guru di dalam program ini pada tahun depan.

“Yapeim akan memberi tumpuan kepada 250,000 orang guru yang mengajar di peringkat UPSR, Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) dan SPM di seluruh negara. Mereka akan diberikan kursus tentang bagaimana skema pemarkahan diberi kepada murid-murid agar pelajar menjawab soalan mengikut skema pemarkahan yang dikehendaki,” ujarnya.

Mengulas mengenai Program Perkasa Komuniti di Pulau Bum Bum, Abibullah berkata, pihaknya dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah menubuhkan kelas Al-Quran dan Fardhu Ain kepada pelajar dari Pulau Bum Bum dan pulau-pulau sekitar untuk menambah ilmu pengetahuan mereka.

“Selain itu kita juga akan mengadakan ceramah, forum, seminar dan sebagainya yang dijalankan secara bulanan yang akan dikendalikan oleh badan-badan atau individu yang diiktiraf oleh institusi agama melibatkan penduduk Pulau Bum Bum dan masyarakat sekitar,” katanya.

Tambah beliau, pada 28 Oktober ini, Yapeim akan melancarkan perkhidmatan kaunter bergerak Ar Rahnu Yapeim di Pulau Bum Bum yang akan dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom. - UTUSAN ONLINE