Afifah Syarinaz dan Muhd. Emirul yang berasal dari Permatang Pauh dekat sini, me­rupakan pasangan termuda dalam majlis itu.

Pasangan ini berkenalan sejak dua tahun lalu semasa masing-masing membantu ibu bapa mereka yang merupakan ahli Gabungan Peniaga dan Penjaja Melayu Malaysia Pulau Pinang (Gapema) berniaga di sekitar daerah Bukit Mertajam.

Majlis persandingan beramai-ramai anjuran Gapema yang kali pertama diadakan itu menjadi pilihan pasangan terbabit kerana hanya perlu mengeluarkan belanja RM3,000 berbanding menganjurkannya sendiri di rumah yang memerlukan belanja kira-kira RM15,000.

“Saya dan pasangan bersyukur kerana ini menjimatkan wang kami yang boleh digunakan untuk penyediaan selepas kahwin kelak,” kata Afifah Syarinaz ketika ditemui Utusan Malaysia dalam majlis itu.

Dalam majlis itu, semua pasangan pengantin bukan sahaja di­sandingkan di tempat khas tetapi turut merasai nikmat bergelar raja sehari selepas diarak dengan paluan kompang memasuki dewan, makan beradab, memotong pulut kuning dan kek serta bergambar beramai-ramai.

Sementara itu, bagi pasangan Mohd. Budiono Mayadi, 33, dan Azra Azreen Kamarjalman, 33, mereka bersyukur kerana Gapema merealisasikan hajat dan memudahkan mereka bergelar suami isteri dalam tempoh yang singkat selepas bercinta selama tujuh tahun.

“Kami merancang menganjurkan majlis pernikahan dan persandingan tahun hadapan kerana masing-masing ingin membuat persediaan secukupnya dari segi wang ringgit.

“Namun majlis yang disediakan Gapema ini secara langsung mempercepatkan hajat kami bersatu dan melayari bahtera perkahwinan,” katanya.

Turut terlibat dalam majlis penuh bersejarah itu ialah anak kepada seorang kakitangan Utusan Melayu (M) Berhad cawangan Seberang Jaya iaitu Nurul Madihah Ahmad Tajuddin,19, yang disandingkan dengan pasangannya Khairil Azwal Abdul Aziz, 26.

Mereka berdua adalah ahli Gapema yang terlibat secara langsung mengurus sebuah restoran di negeri ini.

Sementara itu, Pengerusi Perhubungan Gapema negeri, Zai­nol Abidin Ismail berkata, majlis tersebut diatur khas untuk ahli­nya dalam usaha meringankan beban mereka berikutan kos perkahwinan yang semakin tinggi sekarang.

“Kita hanya mengenakan bayaran RM3,000 kepada setiap pasangan manakala lokasi, pakaian pengantin dan jamuan ditanggung sepenuhnya Gapema.

“Malah setiap pengantin boleh membawa seraamai 200 ahli keluarga mereka untuk memeriahkan majlis,” katanya.

Zainol Abidin yang juga Naib Presiden Gapema Pusat berkata, semua pasangan mengurus proses perkahwinan mereka seperti biasa dan hanya hadir dalam majlis persandingan yang dianjurkan pihaknya hari ini.