Darussalam Budin

Pengarah Penjara Selangor dan Kuala Lumpur, Timbalan Komisioner Darussalam Budin berkata, lebih membanggakan salah seorang daripada pelajar itu mendapat A dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Menurutnya, sejak institusi pendidikan juvenil itu ditubuhkan pada 2008, sekolah tersebut mencatat keputusan terbaik pada tahun lalu.

“Pelajar di sekolah ini buat pertama kali mendapat A dalam semua subjek yang diambil dan pelajar lain yang mengambil peperiksaan itu tahun lalu juga berjaya memenuhi visi yang ditetapkan pihak kami.

“Seramai tiga pelajar lagi mendapat keputusan lima A dan selebihnya lulus cemerlang dengan pencapaian yang membanggakan serta layak menyambung pelajar ke institusi pengajian tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan sambutan Hari Penjara Ke-227 peringkat negeri Selangor dan Kuala Lumpur di Penjara Kajang dekat ini.

Tambah Darussalam, dengan kemudahan terkawal dan ditanggung kerajaan sepenuhnya ditambah pula dengan tahap pendidikan bermasalah, pesalah juvenil yang menduduki SPM 2016 menunjukkan semangat yang tinggi dan pencapaian di luar jangkaan.

“Ada antara mereka yang keciciran pelajaran semasa tingkatan satu dan dua tapi berbekalkan semangat mereka memohon malah ada yang merayu untuk menduduki peperiksaan SPM.

“Maka daripada saringan yang dilakukan mereka dipilih untuk belajar semula dan menduduki peperiksaan. Melalui tempoh pembelajaran yang singkat dan intensif mereka lulus cemerlang seperti pelajar biasa di luar sana,” ujarnya.