Majlis pengagihan disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang me­nyampaikan tablet kepada guru besar yang mewakili tujuh daerah di negeri ini dalam satu majlis hari ini.

Mohamad berkata, golongan guru perlu melengkapkan diri dengan kemahiran dan penge­tahuan terkini supaya mereka bersedia untuk berdepan dengan perubahan dalam bidang pendidikan.

Ujarnya, berbanding sebelum ini, bidang pendidikan kini sudah jauh berubah dan guru perlu berani menerima perubahan yang berlaku.

“Sekarang kita ada dasar-dasar pendidikan baharu dan jangan marah, kalau kita sendiri tidak mahu keluar dari zon selesa. Kita tidak boleh statik sebab dunia di luar sana sudah berubah.

“Anak-anak kita tidak boleh lagi belajar guna papan kapur se­­per­ti dahulu. Sebab itu hari ini ada pemberian tablet kepada guru dan gunakanlah sebaik mungkin.

“Hari ini dunia di hujung jari kita dan kita kena berubah. Kalau tidak, kita ketinggalan dan dilihat tidak berilmu oleh pelajar kita sendiri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Profesionalisme Guru Besar Negeri Sembilan di sini, hari ini.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Kumpu­lan Utusan, Datuk Othman Mo­ha­­­mad; Pemangku Pengarah Ja­­batan Pendidikan negeri, Pkharuddin Ghazali dan Yang Dipertua Majlis Guru Besar negeri, Ahmad Kashfi Mohd. Ali.

Pemberian tablet yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun lalu seiring dengan usaha mewujudkan guru bercirikan abad ke-21 yang menggunakan teknologi dan memanfaatkan pelbagai sumber dalam pendidikan.

Aplikasi Tutor Guru yang terdapat dalam tablet itu dapat membantu guru dalam aspek pengajaran dan pembelajaran selain mengandungi bank soalan, bahan rangsangan dan jawapan soalan latihan.

Sehingga kini tablet itu telah diagihkan kepada guru-guru di Sarawak, Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Negeri Sembilan.