Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, Malaysia dikurniakan dengan kepelbagaian hasil pertanian dan budaya, menjadikan makanan di negara ini mempunyai keunikannya tersendiri untuk dikomersialkan.

Katanya, segmen Makanan Popular MAHA, ‘Empayar Makanan’ akan menjadi platform kepada 62 usahawan makanan untuk memperkenal dan menyediakan hidangan yang menjadi ikon di negeri masing-ma­sing kepada pengunjung.

“Selain itu, MAHA 2016 turut membawakan makanan eksotik dan unik, antaranya kerabu obor-obor, gulai lemak belalang dan kerabu rumpai laut. Pe­ngunjung boleh melihat sendiri penyediaan makanan tersebut menerusi demonstrasi yang akan dilakukan di sana.

“Saya berharap usahawan yang menyertai pameran ini akan mengambil peluang de­ngan sebaik mungkin untuk mengembangkan lagi ekonomi mereka. Giat laksanakan pelbagai promosi dan dapatkan maklum balas pengunjung bagi menambah baik produk pada masa depan,” katanya dalam sidang akhbar Sajian Makanan Popular, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Tan Sri Badruddin Amiruldin; Ketua Pengarah FAMA, Datuk Ahmad Ishak dan Pengerusi Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Datuk Dr. Mohamad Satim Diman.

Dalam pada itu, Ahmad me­nyasarkan nilai jualan RM7 juta bagi sektor-sektor yang diuruskan oleh FAMA seperti empayar makanan, pameran antarabangsa dan jualan buah-buahan sepanjang 11 hari pameran berlangsung.

“MAHA kali ini melibatkan penyertaan 16 negara luar se­perti Korea Selatan, Fiji, Ecuador, Australia, Kanada, Sepanyol dan Afrika Selatan. Oleh itu, RM50 juta padanan perniagaan dijangka akan berlaku menerusi peluang perniagaan baharu.

“Kami juga turut mengadakan seminar model perniagaan food truck bagi menggalakkan golongan muda melibatkan diri dalam keusahawanan,” katanya.

Pameran anjuran Kementeri­an Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) akan berlangsung di MAEPS dan 1,500 gerai tersedia untuk dilawati oleh pengunjung.