AZEEM NAZURI
AZEEM NAZURI

Ketua Pegawai Penguatkuasaan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Azeem Nazuri berkata, langkah itu bagi memastikan para peniaga melaksanakan sifar cukai GST.

Beliau berkata, tindakan itu akan dibuat berdasarkan rekod harga barangan yang telah diperiksa di 335 premis di Melaka sejak bulan lalu.

"Mengenai paparan harga, peniaga diberikan masa 30 hari untuk berbuat demikian, namun setakat ini kita berpuas hati dengan beberapa premis yang telah diperiksa.

"Resit bayaran tertera harga tanpa mengenakan cukai barangan GST," katanya dalam sidang akhbar selepas mengadakan Op Catut di pasar raya Mydin Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini petang ini.

Operasi itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Sumber Manusia, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G. Saminanthan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia negeri.

Sementara itu, seorang pengguna, Rosnizam Hashim, 36, berkata, jumlah keseluruhan harga barangan selepas sifar GST dikuatkuasakan jelas menunjukkan penurunan positif apabila dikenakan bayaran di bawah RM200.

Menurutnya, kebiasaan pada setiap bulan dia akan memperuntukkan lebih RM200 untuk membeli barangan keperluan harian ketika pelaksanaan GST.

"Ini adalah sesuatu yang ditunggu-tunggu oleh rakyat malah lebih menggembirakan apabila ia dilaksanakan pada musim umat Islam sibuk menyediakan persiapan menyambut perayaan Aidilfitri,"katanya.

Seorang warga emas dari Durian Tunggal, Raziah Abdullah, 67, turut meluahkan perkara sama dan mengakui sifat GST juga memberi penjimatan ketara ketika berbelanja untuk bilangan ahli keluarga ramai sepertinya. - UTUSAN ONLINE