Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan SPRM, Datuk Shamshun Baharin Mohd. Jamil berkata, jumlah berkenaan melibatkan statistik kes yang berlaku selama tiga tahun dengan beberapa tamgkapan dilakukan.

"Sejak 2015 hingga Februari lalu kita telah menerima sebanyak 156 kes berkaitan kesalahan rasuah yang melibatkan koperasi di negara ini.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 13 kertas siasatan dibuka dan beberapa tangkapan  sudah dilakukan. Statistik itu walau bagaimanapun tidaklah begitu banyak, namun usaha pencegahan perlu berterusan dilakukan kerana ia lebih baik daripada mengubati supaya masalah tidak menjadi lebih parah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyaksikan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah dan Seminar Integriti Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di Hotel Grand Renai di sini, hari ini.

Yang turut hadir Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa dan Tadbir Urus Angkasa, Dr. Mohd. Azlan Yahya.

Menurut Shamshun Baharin, pihaknya juga berhasrat melahirkan masyarakat yang berani melaporkan kesalahan rasuah yang berlaku di organisasi masing-masing. -UTUSAN ONLINE