Ketua Pegawai Eksekutif Shapers Malaysia Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Shukri Abdullah berkata, pihaknya selaku penganjur bersama GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd. menyediakan lebih banyak peluang jualan dan jaringan hubungan untuk syarikat yang menyertai ekspo halal terbesar negara ini.

“Buat pertama kali kami akan adakan jualan murah supaya pengunjung bukan sahaja dapat melihat pameran, malah membeli-belah dengan potongan harga yang berbaloi.

“Dengan pembaharuan ini kami yakin dapat menarik kira-kira dua kali lebih ramai pengunjung berbanding Halfest yang diadakan tahun lalu,” katanya dalam sidang akhbar selepas pelancaran Halfest Giant 2018 di Pusat Pameran Mines (Miecc), dekat sini hari ini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Kepenggunaan dan Pengurusan) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Muez Abd. Aziz dan turut dihadiri Pengerusi GCH Retail (Malaysia) Sdn. Bhd., Tunku Naquiyuddin Tuanku Ja’afar. - UTUSAN ONLINE