Ketua Polis Daerah Timur Laut SAC, Mior Faridalathrash Wahid berkata, dalam operasi bersepadu bermula 9.30 pagi itu, pihaknya membuat pemeriksaan di empat tapak pembinaan iaitu Lebuh Katz, Jalan Nagore Ismail, Jalan Brown dan Changkat Minden Lorong 7, Gelugor di sini.

“Seramai 140 warga asing diperiksa dalam operasi itu dan kami menahan 15 orang daripada mereka kerana tiada dokumen perjalanan diri dan tinggal lebih masa,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warga Myanmar termasuk seorang wanita dan masing-masing tiga lelaki Indonesia serta Bangladesh berumur 18 hingga 44 tahun, dipercayai bekerja di tapak pembinaan sejak beberapa bulan lepas.

“Semua yang ditahan dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk didokumentasi sebelum dihantar ke Depoh Tahanan Juru bagi siasatan lanjut,” katanya. - BERNAMA