Kesemua suspek berusia antara 13 hingga 60 tahun itu ditahan ketika berada dalam kediaman terbabit kira-kira pukul 4 petang.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din ketika dihubungi mengesahkan berhubung tangkapan tersebut dan menegaskan bahawa mereka yang ditahan bukan kumpulan penceroboh atau pengganas sebaliknya anggota pertubuhan Pemuda Panca Marga.

“Hasil siasatan awal mendapati, pertubuhan ini ditubuhkan pada tahun 1966 dan markas mereka di selatan Sulawesi, Indonesia.

“Difahamkan, matlamat pertubuhan Pemuda Panca Marga adalah untuk menjaga kebajikan pesara polis, tentera dan pekerja Indonesia yang mencari rezeki di negeri ini,” katanya di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ramli berkata, individu yang ingin menyertai pertubuhan terbabit dikatakan wajib membayar yuran ahli sebanyak RM800 untuk seumur hidup dan kononnya akan mendapat imuniti daripada undang-undang negara ini.

“Semasa serbuan dijalankan, seramai 11 individu memakai pakaian celoreng namun, hasil pemeriksaan lanjut di dalam rumah tersebut pihak polis tidak menemukan sebarang senjata api,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menambah, pihak polis masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti ketua dan jumlah keseluruhan anggota pertubuhan terbabit.

“Kini kesemua suspek ditahan untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63, Akta Pertubuhan dan Seksyen 420 Kanun Keseksaan.