Nora­s­hikin Ismail

Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, jumlah itu me­lebihi sasaran awal pihak penganjur iaitu sebanyak 10,000 pengunjung.

“Program SL1M di Sabah kali ini menawarkan lebih 6,000 peluang pekerjaan dan latihan kepada semua pencari kerja tanpa mengira latar belakang dan peringkat kelulusan.

“Sesi temu duga dijalankan secara terus oleh pihak syarikat yang menyertai SL1M bagi memudahkan para graduan dan pencari kerja mendapatkan latihan kerjaya dalam pelbagai bidang,” katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas program itu, kelmarin.

Program temu duga terbuka itu merupakan anjuran kedua selepas yang pertama diadakan di Serdang, Selangor, bulan lalu.

Bagi memeriahkan program itu, penganjur turut mengadakan pelbagai aktiviti menarik buat pengunjung termasuk menampilkan artis-artis terkenal tanah air seperti Faizal Tahir, Kumpulan Zero, Stacy, Marsha, Ara Johari, Andi Bernadee, Fa­rish Aziz dan Samantha Miles serta krew Kupi-Kupi FM.

Menariknya, Norashikin berkata, pihaknya juga menyediakan pengangkutan awam dan perkhidmatan pe­ngangkutan GrabCar dengan diskaun sebanyak RM8 sehala.

“Orang mencari peluang kerja hendak datang ke UMS agak jauh, jadi kita sediakan pengangkutan secara percuma buat mereka manakala Grab Car adalah kali pertama kita per­kenalkan,” jelasnya.

Mengulas lanjut mengenai program itu, beliau memberitahu kebanyakan graduan yang datang tidak memilih kerja, namun pilihan mereka terarah kepada lokasi tempat kerja sama ada berdekatan dengan kawasan tempat tinggal atau sebaliknya.

Selain itu katanya, faktor jenama syarikat juga menjadi keutamaan pencari kerja kerana cara itu dilihat memudahkan mereka membuat penilaian sesuai de­ngan latar belakang kelulusan masing-masing.

Dalam pada itu, Norashikin berkata, pihaknya akan membuat kelainan dalam program SL1M di Kedah yang akan diadakan di Stadium Sultan Abdul Halim pada 14 dan 15 April depan.

“Kedah merupakan negeri pertanian, jadi kita akan bawa usahawan asas tani untuk bersama-sama turun padang dengan kita.

“Kalau di Sabah, kita bawakan pameran kereta dan aksi lasak. Tujuannya ialah kita mahu pe­ngunjung melihat bahawa de­ngan adanya kesungguhan, minat dan hobi pun boleh menjana pendapatan,” katanya.