Pengerusi Sekretariat Ulama Umarak, Datuk Jailani Ngah berkata, perhimpunan itu di­jang­ka dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Jelas Jailani, perhimpunan yang dianjurkan serta disertai oleh lebih 200 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam itu merupakan satu reaksi oleh umat Islam di negara ini terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap etnik Rohingya di Myan­mar.

“Kita akan mengeluarkan re­solusi pada perhimpunan ini untuk diserahkan kepada Perdana Menteri dan kita yakin ia akan dibawa kepada pihak-pihak yang sepatutnya.

“Kita ingin tegaskan bahawa perhimpunan ini adalah bagi memastikan suara kita didengari oleh masyarakat antarabangsa terutama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya ketika diwawancara pada program Sembang Online Utusan sem­pena Perhimpunan Agung UMNO 2016 di sini hari ini.

Menurut Jailani, seramai 3,000 orang akan berhimpun di dalam Stadium Titiwang­sa ma­nakala 12,000 lagi akan ber­kumpul di perkarangan stadium berkenaan.

Perhimpunan aman itu jelas beliau, akan turut menjemput ribuan masyarakat Rohingya yang tinggal di negara ini.

Beliau seterusnya menyeru orang ramai yang prihatin terhadap nasib masyarakat Islam Rohingya agar turut bersama menunjukkan permuafakatan dengan menghadiri perhimpunan tersebut.

“Mari kita bersama menuntut agar pihak berkuasa Myanmar menghentikan penindasan serta pembunuhan etnik Rohingya. Kita sebagai saudara sesama Islam perlu melakukan sesuatu,” katanya.