Menterinya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu sebahagian besar daripada produk keluaran kementerian sudah berada di dalam pasaran malah ada di antara produk-produk berkenaan telah diambil oleh pelbagai syarikat dalam an luar negara untuk dipasarkan di peringkat global.


Menurut beliau, sebagai sebuah kementerian yang bertanggungjawab meningkatkan perkhidmatan dan keselamatan pembinaan bangunan, jalan raya dan kemudahan infrastruktur utama negara, pihaknya perlu meningkatkan kreativiti mereka dalam menghasilkan produk-produk berinovasi.


“Semua kakitangan JKR perlu membudayakan kreativiti dan inovasi dalam kerja harian mereka dan tujuannya supaya kita dapat sentiasa meningkatkan perkhidmatan untuk kemudahan rakyat.


“Selain itu kita juga perlu memastikan kementerian sentiasa di hadapan sebagai agensi teknikal dan penasihat kepada kerajaan, agensi pertama yang berada di hadapan daripada segi menyediakan perkhidmatan infrastruktur jalan dan bangunan serta memastikan ia dalam keadaan baik, selamat dan selesa untuk digunakan,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Hari Inovasi Jabatan Kerja Raya (JKR) peringkat kebangsaan 2017 dan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) di Dewan Utama Pusat Kecemerlangan Kejuruteraan dan Teknologi JKR (Create) di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Zohari Akob; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Dr. Roslan Md. Taha; Timbalan Ketua Pengarah JKR (Sektor Infra), Datuk Dr. Meor Abdul Aziz Osman dan Pengarah JKR negeri, Zulkifly A. Ghani.


Sempena sambutan Hari Inovasi tersebut, sebanyak tujuh anugerah dipertandingkan iaitu Anugerah Pengurusan JKR Daerah Terbaik, Anugerah Pengurusan Pejabat Terbaik, Anugerah Pengurusan Projek Terbaik, Anugerah Inovasi JKR Terbaik, Anugerah Pengurusan Fasiliti Terbaik termasuk dua Anugerah Konvensyen yang dibahagikan kepada pengurusan dan teknikal. - UTUSAN ONLINE