Skim tersebut kebanyakannya adalah skim cepat kaya yang menggunakan medium seperti pelaburan dalam Internet yang kononnya beroperasi di luar negara.

Sepanjang tahun lalu sahaja, SC menerima sebanyak 501 aduan berhubung skim pelaburan yang dikatakan menipu pelabur serta 505 pertanyaan mengenai perkara yang sama.

SC terlibat dalam memantau syarikat dan individu yang menjalankan aktiviti jual beli saham, bon, sekuriti, kontrak niaga hadapan dan unit amanah dalam negara.

Kebanyakan syarikat yang dikatakan sebagai syarikat pelaburan itu mendaftar di luar negara dan mengaburi mata pelabur dalam menjalankan perniagaan seperti perlombongan dan petroleum.

Menurut laman web SC lagi, seorang pelabur perlu mengetahui serba sedikit selok belok pelaburan sebelum menjalankan sebarang pelaburan tidak kira berapa pun jumlahnya.

Ini kerana terdapat pelbagai kes penipuan yang dijalankan oleh mereka yang mahu mengaut keuntungan dalam menipu duit mangsa.

Bagi pelabur yang tidak mahu mengambil risiko ditipu, mereka boleh menghubungi pihak SC dalam mendapatkan kepastian sama ada ejen, syarikat dan skim itu berdaftar atau tidak.

Jika tidak, pelabur dinasihatkan melaporkan perkara itu kepada pihak SC dan Bank Negara bagi mendapat tindakan lanjut.

Sementara itu, bagi mereka yang telah melabur pula diingatkan agar menyimpan segala dokumen yang berkaitan dengan pelaburan tersebut dalam memudahkan tuntutan dibuat jika berlaku sebarang masalah.

Bagi sebarang pertanyaan, pelabur boleh terus menghubungi SC di talian 03-62048000 dan melayari laman web SC di http://www.sc.com.my.