Mas Ermieyati Samsudin

Timbalan Menteri Pelanco­ngan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 11 syarikat telah dibatalkan lesen dan satu syarikat ditarik balik le­sen bidang pelancongan luar negara kerana didapati melanggar Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) atas kesalahan yang melibatkan elemen penipuan.

“Bagi tahun 2017, notis pembatalan lesen telah dikeluarkan kepada dua syarikat terbabit kera­na didapati bersalah melanggar syarat-syarat di bawah Akta 482. Kedua-dua syarikat ini sedang di peringkat rayuan.

“Kementerian juga sedang menyiasat beberapa lagi syarikat yang mengendalikan pakej umrah dan ziarah yang bakal berhadapan tindakan sama jika sabit kesalahan,” katanya.

Abdul Azeez Abdul Rahim
Abdul Azeez Abdul Rahim

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai tindakan diambil kementerian terhadap agensi-agensi yang melakukan penipuan terhadap pakej-pakej umrah pada sesi soal jawab dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas lanjut, Mas Ermie­yati menjelaskan, selain tindakan pembatalan lesen, kementerian juga tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan lesen baharu agensi pelancongan dan pengembaraan oleh mana-mana individu yang telah disenarai­hitamkan atas kesalahan di bawah Akta 482 termasuk bagi agensi pelancongan pengendali umrah serta ziarah.

“Kementerian juga bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) agar mereka yang telah dikenal pasti ini turut dihalang daripada menu­buhkan syarikat-syarikat baharu berkaitan pelancongan atau mengambil alih syarikat lain bagi menjalankan aktiviti berkaitan pelancongan,” jelasnya.

Menjawab soalan tambahan Abdul Azeez sama ada kementerian bercadang melibatkan agensi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mengatasi masalah penipuan umrah, Mas Ermieyati membe­ritahu perkara itu akan dibawa ke dalam mesyuarat Majlis Kawal Selia Umrah (MKSU).

Pada masa sama, beliau me­ngingatkan orang ramai bahawa harga lantai pakej umrah seperti ditetapkan kementerian adalah sebanyak RM4,900 untuk 12 hari 10 malam dan menegaskan supaya tidak mempercayai pakej yang lebih murah kerana jumlah itu tidak mencukupi untuk menampung kos penerbangan serta penginapan.