LIM GUAN ENG
LIM GUAN ENG

Peguam Gobind Singh Deo yang mewakili Guan Eng, memohon maaf kepada Hakim Datuk Hadhariah Syed Ismail dan memohon prosiding itu ditangguhkan ekoran ketidakhadiran anak guam­nya yang mempunyai urusan rasmi.

Menurut pe­guam itu, pihaknya memohon supaya perbica­ra­an ter­sebut ditangguhkan ekoran Parlimen te­lah dibubarkan pada Sabtu lalu dan mereka memerlukan masa untuk membuat persediaan bagi proses pilihan raya.

“Kita tidak tahu bila Pilihan Raya Ke-14 (PRU-14) diadakan jadi saya cadangkan tarikh pengurusan kes ditetapkan pada awal Mei ini untuk menentukan hala tuju perbicaraan,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengetuai barisan pendakwaan bagaimanapun membantah permohonan Gobind kerana meskipun pihaknya menyedari Parlimen telah dibubarkan namun tarikh penamaan calon masih belum ditetapkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Sehubungan itu menurut Masri, perbicaraan tersebut masih boleh diteruskan untuk minggu ini seperti yang telah ditetapkan sebelum ini.

Hakim Hadhariah bagaimanapun berkata, perbicaraan tidak boleh dite­ruskan tanpa kehadiran Guan Eng selaku tertuduh pertama.

“Disebabkan PRU-14, perbicaraan tidak dapat diteruskan. Saya pun tidak boleh tunggu dan tanpa kehadiran Guan Eng, perbicaraan tidak boleh diteruskan,” ujar hakim itu yang memulakan prosiding pada pukul 9.30 pagi.

Mahkamah kemudian menetapkan perbicaraan akan didengar pada 21 hingga 25 Mei ini sementara 10 Mei dijadualkan untuk pengurusan kes bagi memastikan isu-isu berkaitan PRU-14 selesai.

Selepas perbicaraan ditangguhkan, Masri memberitahu pemberita di luar mahkamah, sebanyak 14 saksi pendakwaan telah hadir dan mereka bersedia memberi keterangan di mahkamah hari ini.

Beberapa minit selepas kes ditangguhkan, pihak media diberitahu Ketua Menteri Pulau Pinang itu bersama barisan peguam belanya akan mengadakan sidang akhbar di pekarangan mahkamah bagi memberi penjelasan mengenai permohonan penangguhan tersebut.

Guan Eng, 58, dibicarakan setelah mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan rasuah berhubung penukaran status tanah daripada zon pertanian kepada zon perumahan, empat tahun lalu serta pembelian lot tanah dan banglo di No. 25, Jalan Pinhorn di bawah nilai pasaran, tiga tahun lalu.

Li Koon, 46, yang merupakan bekas pemilik banglo itu pula didakwa bersu­bahat dengan Guan Eng untuk mendapatkan lot tanah dan banglo berkenaan di bawah harga pasaran.