Operasi bermula pukul 4 petang itu dijalankan di kawasan dalam dan luar bangunan sebuah kompleks beli belah di Segama, selain Manggatal, Jalan Bantayan, Batu 6 dan Kampung Kitobu, Inanam.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Superintenden George Abd. Rakman berkata, seramai 47 orang diperiksa dan 14 individu disyaki PATI ditahan dalam operasi tujuh jam itu.

“Semua 14 individu termasuk seorang wanita yang ditahan itu didapati tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

“PATI yang ditahan berusia lingkungan 14 hingga 33 tahun disiasat mengikut Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63,” katanya di sini hari ini.

George memberitahu, tumpuan lokasi operasi adalah sekitar pusat bandar berikutan peningkatan bilangan PATI yang mengundang kegiatan jenayah.

Beliau berkata, polis mengalu-alukan maklumat orang awam berkaitan jenayah di kawasan mereka.

Operasi itu dibantu beberapa agensi iaitu Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Rakyat (RELA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). - UTUSAN ONLINE