Di ibu negara, sebanyak 10 bayi terdiri daripada tujuh perempuan dan tiga lelaki selamat dilahirkan sejak pukul 12 tengah malam tadi sehingga 3 petang ini di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi HKL, Dr. Ng Poh Yin berkata, bayi pertama merupakan lelaki seberat 2.7 kilogram (kg) dilahirkan seawal 12.14 pagi manakala bayi kedua ialah pe­rempuan pada pukul 12.24 pagi seberat 3.09 kg.

“Tujuh bayi dilahirkan secara normal manakala tiga lagi secara pembedahan dan kesemua ibu dan anak berada dalam keadaan sihat,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, sembilan bayi yang dilahirkan merupakan warganegara Malaysia manakala seorang lagi warganegara Indonesia.

Di Kedah, sebanyak 34 kelahiran ‘bayi merdeka’ terdiri daripada 17 lelaki dan 17 perempuan dicatatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB); Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), Sungai Petani; Hospital Daerah Kulim dan Hospital Daerah Langkawi sehingga pukul 11 pagi hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, 20 bayi dilahirkan termasuk pasangan kembar lelaki di HSB, lapan bayi di HSAH, Hospital Daerah Kulim (5) dan Hospital Daerah Langkawi (1).

“Bilangan jantina adalah 17 bayi lelaki dan 17 bayi perempuan sehingga kelahiran pada pukul 11 pagi hari ini,” katanya.

Sementara itu, di sebuah hospital swasta di Sungai Petani, seorang bayi lelaki dan seorang lagi perempuan dilahirkan pada pukul 9.25 pagi dan 10.26 pagi.

Di Kelantan, 19 kelahiran bayi dicatatkan di hospital swasta Raja Zainab II (HRPZ II) sejak tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Di Melaka, sebanyak 20 bayi dilahirkan bermula pada pukul 12.03 malam tadi sehingga pada pukukl 11 pagi ini.

Daripada jumlah tersebut, 11 adalah bayi lelaki manakala selebihnya perempuan yang dilahirkan tanpa sebarang masalah melalui kaedah normal dan juga pembedahan.

Di Terengganu, seramai 37 bayi selamat dilahirkan di beberapa hospital di negeri ini bermula pada pukul 12.01 tengah malam tadi.

Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd. Jusoh berkata, setakat pada pukul 12 tengah hari ini, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ di sini mencatatkan kelahiran ter­tinggi dengan 25 bayi terdiri daripada 12 lelaki dan 13 perempuan.

Di Pulau Pinang, seramai enam bayi dilahirkan di Hospital Pulau Pinang di sini yang mencatatkan tiga lelaki dan tiga perempuan.

“Memang tak sangka saya dan anak kedua ini akan berkongsi tarikh lahir dan anak ini adalah hadiah yang amat bermakna untuk saya,” katanya.

Di Perak, seramai 12 bayi selamat dilahirkan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) terdiri daripada lapan lelaki dan empat perempuan bermula pada pukul 12.01 tengah malam hingga pada pukul 12 tengah hari.

Di Johor, sepasang suami isteri bangga menimang cahaya mata kelima kira-kira satu jam selepas detik 12 tengah malam tadi bagi menyambut Hari Kebangsaan 2018.