NOOR HISHAM ABDULLAH

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pecahan mereka yang dijangkiti malaria terdiri daripada 72 lelaki dan 65 perempuan termasuk 79 kanak-kanak berumur 14 tahun ke bawah.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati penduduk terbabit positif malaria jenis plasmodium vivax kecuali satu kes plasmodium falciparum.

Katanya, pemantauan ber­terusan akan dilakukan dan individu yang mengalami de­mam, perlu menjalani pemeriksaan darah segera.

“Wabak malaria di Pos Kemar mula dilaporkan pada 16 November lalu apabila tiga penduduk didapati positif oleh kakitangan kesihatan di lapangan untuk jangkitan malaria jenis plasmodium vivax selepas mereka mengadu mengalami demam berpanjangan.

“Sebelum ini, Pos Kemar telah diisytiharkan sebagai kawasan bebas malaria (kawasan hijau) memandangkan tiada kes malaria dilaporkan di kawasan tersebut sejak lebih dari tiga tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Noor Hisham, selain pemeriksaan darah beramai-ramai, aktiviti-aktiviti kawalan lain telah dipertingkatkan dan sehingga Rabu lalu, sebanyak 724 rumah di Pos Kemar telah disembur dengan racun pembunuh nyamuk serta penduduk juga di­be­kalkan dengan ke­lambu berubat.

Selain itu, selaras dengan Pelan Strategik Eliminasi Malaria katanya, ak­tiviti pemeriksaan darah beramai-ramai itu akan diulangi selepas sebulan dari tarikh aktiviti pertama diadakan bagi memastikan kes baharu dikesan seterusnya mengekang penyebaran jangkitan malaria.

“Aktiviti kawalan turut diperkukuhkan melalui ak­tivi­ti larvaciding bagi mencegah pembiakan nya­muk anopheles di Pos Kemar. Pemeriksaan darah beramai-ramai kedua akan dilakukan pada 27 Disember ini di kampung yang dilaporkan kadar kes malaria melebihi satu peratus.

“Kementerian Kesihatan menjangkakan jumlah kes yang dikesan akan berkurangan. Wabak semasa yang berlaku di Pos Kemar adalah kerana parasit malaria dibawa masuk oleh pesakit dari luar kawasan dengan risiko utama adalah melalui kemasukan pekerja asing ke kawasan itu,” katanya.