Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 99 kes dilaporkan di daerah ini, Port Dickson (18), Jelebu (7), Jempol (3), Kuala Pilah (2) dan Rembau (1).

Katanya, sejak Januari lalu hingga kini, sebanyak 1,995 kes HMFD telah dilaporkan di negeri ini, meningkat sebanyak 235 peratus berbanding hanya 596 kes untuk tempoh yang sama tahun lalu.

"Pada masa ini, sebanyak empat pusat asuhan kanak-kanak, tabika dan pra-sekolah yang kesemuanya terletak di daerah Seremban telah ditutup selama 10 hari bagi membendung wabak tersebut," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Aminuddin Harun.

Sebelum sidang akhbar itu, Aminuddin turut menyaksikan penyampaian sanitiser (pembersih) tangan oleh Veerapan kepada guru besar lima buah sekolah sekitar daerah ini sumbangan kerajaan negeri.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri sedia memberikan sumbangan itu kepada lebih banyak sekolah di negeri in jika keadaan memerlukan.

"Secara keseluruhannya, wabak itu masih terkawal di negeri ini tetapi kerajaan negeri memantau perkembangan itu dengan teliti," katanya. - UTUSAN ONLINE